Isnin, 7 Disember 2015

PBB Tampilkan 10 Muka Baru

 
Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan menampilkan 10 muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadual berlangsung sebelum 20 Jun 2016.

Presiden PBB Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata 10 muka baharu ini termasuk di lima kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini.

“Daripada 40 buah kerusi DUN yang akan ditandingi oleh PBB, barangkali 10 adalah calon muka baharu.

“Salah satu daripadanya akan diletakkan di lima kerusi DUN baharu dan yang lain akan menggantikan mereka yang berhasrat untuk bersara,” katanya.

Adenan berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT) PBB di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako di sini semalam.

Mengulas lebih lanjut mengenai 11 kerusi baharu DUN yang telah diluluskan, Adenan berkata buat masa ini PBB masih belum memilih kerusi mana yang akan diperuntukkan kepada PBB.

Tetapi menurut beliau, berdasarkan bilangan dan fakta mengenai kerusi baharu ini, ia jelas bahawa terdapat sebahagian kerusi tidak boleh dimiliki oleh PBB.

“PBB boleh menuntut lebih banyak kerusi daripada 11 kerusi DUN baharu dengan mengambil kira keahlian serta sokongan besar rakyat dan pengundi terhadap PBB.

“Tetapi pada masa yang sama PBB turut akan memberi ruang kepada parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain untuk mendapatkan sebahagian daripada kerusi baharu ini,” ujarnya.

Pada sidang media itu semalam, Adenan yang juga pengerusi BN Sarawak dan Ketua Menteri turut berterima kasih kepada Ahli Parlimen yang telah mengundi usul bagi menambah bilangan kerusi DUN dalam Dewan Rakyat baru-baru ini.

Penambahan kerusi ini katanya, akan memastikan penyampaian yang lebih baik kepada rakyat di luar bandar dan lebih banyak pembangunan akan dapat disalurkan kepada mereka.

“Sarawak merupakan sebuah negeri yang besar malah yang terbesar dalam Malaysia dan kita wajar mempunyai lebih banyak kerusi berbanding negeri-negeri lain.

“Tidak hanya dari segi populasi tetapi juga jarak, aksesibiliti, perhubungan dan aspek-aspek lain,” katanya.

Berhubung kemelut antara Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) serta Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS), Adenan berkata ia akan diselesaikan sebelum hari penamaan calon.

Mesyuarat MKT itu semalam turut membincangkan penubuhan 12 jawatankuasa bagi menguruskan pilihan raya yang akan diketuai oleh Timbalan Presiden Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu dan pemimpin kanan PBB yang lain termasuk Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Sebelum mesyuarat MKT PBB berlangsung semalam, Adenan terlebih dahulu mempengerusikan Mesyuarat Pra-DUN BN yang akan bermula hari ini (7 hingga 16 Disember).

“Kami mempunyai banyak kejutan yang tidak dijangkakan oleh ahli-ahli daripada pembangkang dan ini mungkin Persidangan DUN yang terakhir sebelum PRN,” ujarnya sambil menambah, tiada rang undang-undang lain akan dibahaskan selain Rang Undang-Undang Pembekalan.

0 comments:

Catat Ulasan

Email Newsletter

Subscribe to our newsletter to get the latest updates to your inbox. ;-)


Your email address is safe with us!

Total Pageviews

Popular Posts